ISTIQARAH CINTA....LAGU DARI SIGMA

Selasa, 24 Mei 2011

RUMAHKU SYURGAKU.....

Isteri itu adalah amanah suami. Sebaik sahaja seorang wanita itu sah dinikahkan atau diijabkabulkan dengan seorang lelaki, maka dia sudah sah bergelar isteri kepada lelaki berkenaan yang sudah sah menjadi suaminya. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri itu, suami adalah menjadi keutamaannya. Segala makan minum, pakaian, layanan kepada suami, kebajikan dan harta suami harus si isteri itu dahulukan.

Sebaik sahaja seorang lelaki dan seorang wanita itu bergelar suami isteri maka, mereka perlu tahu bahawa mereka akan berhadapan dengan satu situasi baru yang mana mereka akan memikul dan memegang amanah yang cukup berat. Bagaimana untuk mereka memulakannya? Jawapannya, mula lah dengan komunikasi. Komunikasi dalam suami isteri merupakan institusi penting di mana mereka perlu untuk memulakan perhubungan. Keseluruhan kesejahteraan da kepuasan hidup bergantung kepada kualiti komunikasi dalam keluarga. Melalui komunikasi suami isteri itu akan dapat membentuk dan membina sebuah keluarga yang bahagia dan diistilahkan oleh masyarakat kita hari ini sebagai 'Rumahku Syurgaku'. Bagaimanakah ia dijadikan syurga? RUMAH TANGGA bahagia bertunjang pada tiang yang kukuh. Andai goyah satu tiang maka goyahlah istana yang dibina.

Mewujudkan ‘rumahku syurgaku’ bukanlah suatu yang mudah jika suami dan isteri tidak faham peranan masing-masing. Mereka perlu diisi dengan ilmu rumahtangga dan perlu tahu serta faham akan tanggungjawab masing-masing. Selain itu untuk mewujudkan 'rumahku syurgaku' juga, suami isteri itu kena saling memahami antara satu sama lain, perlu ada kepercayaan dalam perhubungan dan sikap toleransi serta saling bertolak ansur. Jika sikap atau perkara ini diterapkan dalam kehidupan suami isteri, insyaallah....rumahtangga akan berkekalan kehendaknya. Apabila suami isteri dapat mendidik dan menerapkan nilai murni berkenaan dalam diri masing-masing, insyaallah mereka tidak ada masalah untuk mendidik anak-anak kelak. Didikan anak-anak bermula dari rumah kerana ibu dan bapa adalah orang yang berperanan penting untuk mendididk dan membina perkembangan awal anak-anak.

Ayah adalah ketua keluarga, ibu adalah timbalannya dan anak-anak pula adalah rakyat-rakyatnya yang akan mencorak dan membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Kerjasama antara ketua, timbalan dan rakyat-rakyat ini akan menentukan jalan menuju ke arah 'rumahku syurgaku'. Insyaallah kombinasi hebat antara suami isteri dan anak-anak akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan. Sikap kepimpinan dan rasa tanggungjawab si suami atau si ayah ditambah dengan sikap kerjasama dan memahami dari si isteri atau si ibu serta ditambah lagi dengan sikap taat kepada ibu bapa dari si anak, maka akan jelas terpancar ketenangan, kedamaian dan kebahagian dalam rumahtangga. Inilah sebenarnya yang kita idam-idamkan dan kita damba-dambakan. Keluarga itulah rumah dan juga syurga anda.