Isteri cerdik yang solehah...
Penyejuk mata...
Penawar hati...
Penajam fikiran...
Di rumah dia isteri...
Di jalanan kawan...
Di waktu kita buntu...
Dia penunjuk jalan...
Bait-bait lagu di atas adalah menunjukkan ciri-ciri seorang isteri solehah yang mana ciri-ciri tersebut sangat didambakan oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Bagi seorang suami itu, isteri adalah kawan, teman dan sahabat dikala susah dan senangnya. Jika seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan pemimpin dalam rumahnya, maka seorang isteri itu adalah pemimpin dalam rumah suaminya. Seorang isteri yang solehah itu tahu akan peranan dan tanggungjawabnya dalam mengurus rumahtangga. Sebagai ketua dalam rumah suaminya juga, si isteri berperanan dalam mengurus, membesar dan mendidik anak-anak dengan didikan agama yang sempurna.
Sabda Rasulullah s.a.w....
"Tidak boleh bagi seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan sujud seorang manusia kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya kerana hak suami ke atasnya terlalu besar." (Hadis tsabit riwayat Ahmad dan al-Bazzar).
Tetapi kita lihat realiti dunia hari ini, bilangan wanita khususnya isteri yang digelar solehah itu boleh dikira dengan jari. Terlalu sedikit jumlahnya. Ramai para suami yang datang berjumpa dengan saya mengadu mengenai isteri mereka yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ada di antara para suami ini mengadu isteri tidak melayan mereka di tempat tidur, ada juga mengadu isteri lari meninggalkan rumah, isteri curang dan mempunyai hubungan dengan lelaki lain, isteri mengabaikan solat lima waktu, isteri bercakap kasar dan meninggikan suara, isteri pemabuk, isteri mengabaikan anak-anak, isteri itu...isteri ini...dan bermacam-macam lagi jenis aduan mengenai si isteri. Saya sendiri sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu, mula berfikir...di manakah letaknya harga diri seorang wanita itu? Lebih-lebih lagi yang bergelar seorang isteri. Tidak kah mereka tahu bahawa di akhirat nanti akan dihitung dan dihisab semua amalan mereka?
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Setiap seorang kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Saya ambil contoh kes aduan suami mengenai isteri mereka yang tidak memberi layanan di tempat tidur. Mengapa terjadi sedemikian? Baiklah katakanlah sekiranya mungkin isteri itu letih sekalipun, sekurang-kurangnya bercakap elok-elok dengan suami dan fahamkan suami mengapa anda tidak dapat melayannya? Bukannya dengan muka masam dan nada suara yang kasar si isteri itu harus menolaknya. Tapi itulah aduan yang saya terima, lebih-lebih lagi si isteri yang berkerjaya, bekerja di luar sepenuh masa, apabila balik sahaja dari tempat kerja, terus sahaja masuk ke bilik tidur dan tidur tanpa mahu menjenguk keadaan di dapur, tanpa membelai anak-anak dan tanpa hiraukan suami yang sedang menanti.
Wanita solehah tidak akan sekali-kali mengabaikan permintaan suaminya di tempat tidur. Dia sentasa berwaspada terhadap sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut: "Demi yang jiwaku di tangan-NYA, mana-mana suami yang memanggil isteri di tempat tidur, lalu isteri itu enggan memenuhinya, maka segala yang ada di langit dan bumi akan murka terhadapnya sehinggalah suaminya redha kepadanya.” (Riwayat Muslim).
Dia juga memahami bahawa permintaan suaminya itu wajib dipenuhi segera dan tidak boleh ditangguhkan walaupun ketika itu dia sedang sibuk di dapur atau berada di atas kenderaan. Permintaan yang ditunaikan itu dapat menjaga dan membantu suaminya menghindari segala bisikan dan runtunan syahwat yang melanda fikirannya dan menenangkan jiwa suaminya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda:
“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” - (Riwayat Muslim).
Hal ini amat berbeza sekali dengan wanita yang tidak memahami tuntutan agama. Mereka sewenang-wenangnya menolak permintaan suami dan menganggap perbuatan itu tidak mendatangkan sebarang dosa. Mereka sewenang-wenangnya memberi alasan penat atau sebagainya. Amaran dan ancaman laknat ALLAH dan malaikat terhadap perbuatan itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.
Wanita solehah yang memahami kewajipan itu akan berusaha sebaik mungkin menjalankan tanggungjawabnya. Sepenat manapun, dia akan berusaha menunaikan segala permintaan suami. Ini kerana, redha ALLAH kepadanya terletak pada redha suami terhadap dirinya.
Inilah bezanya antara isteri yang solehah dan isteri tolehah itu. Mungkin memang agak sukar untuk menjadi isteri yang solehah itu, tetapi jika seseorang wanita itu mempunyai ilmu di dada dan pegangan iman yang kukuh, insyaallah perkara-perkara yang membawanya kepada dosa tidak akan terjadi.
Sebuah riwayat menceritakan:
“Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w kerana hajat tertentu. Apabila selesai, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia menjawab: Ya. Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia? Dia menjawab: Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa yang tidak mampu kulakukan. Sabda baginda: Kamu perlu lihat keadaan kamu daripadanya. Sesungguhnya dia adalah syurga dan neraka kamu.” – (Riwayat Ahmad dan al-Nasaai dengan sanad yang baik).
Maka cukup setakat ini dahulu catatan saya pada hari ini. Mudahan apa yang saya cuba sampaikan ini berguna kepada wanita-wanita di luar sana, khususnya para isteri. Bukannya niat saya untuk merendah-rendahkan kaum wanita dan kaum isteri kerana saya juga seorang isteri dan sebagai seorang isteri saya ingin berkongsi dengan para isteri sekalian bagaimana untuk kita mencapai keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Wallahu alam.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan