ISTIQARAH CINTA....LAGU DARI SIGMA

Khamis, 2 Jun 2011

MENGAPA HARUS BERSEDIH?

Allah benar janjiNya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala. Kalau kita ukur banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang telah Allah beri kepada kita. Firman Allah : "Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya". (Ibrahim 14:34).

Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang di sekitar anda, apa yang kurang? Segalanya cukup, rumah, kereta, keluarga, anak-anak semua cukup. Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari KurniaNya, mengapa harus bersedih? Mengapa harus berdukacita? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik? Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil kan?

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah, Firman Allah dalam surah al-Ankabut 29:33 yang bermaksud : "Jangan takut, jangan berdukacita".

Kadang-kadang manusia berdukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak, penyakit yang menimpa, masalah keluarga yang banyak, masalah anak, masalah suami, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu, masalah ini dan sebagainya menyebabkan jiwa tertekan. Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah? Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah. Sesiapa yang tidak ingin menghadapi masalah, dia tidak layak untuk hidup di dunia. Masalah yang besar yang tetap kita akan hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan. Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melaawan dan sebagainya. Bukankah itu mengajak kita untuk berusaha berjihad mendidiknya! Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT.

Selasa, 24 Mei 2011

RUMAHKU SYURGAKU.....

Isteri itu adalah amanah suami. Sebaik sahaja seorang wanita itu sah dinikahkan atau diijabkabulkan dengan seorang lelaki, maka dia sudah sah bergelar isteri kepada lelaki berkenaan yang sudah sah menjadi suaminya. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri itu, suami adalah menjadi keutamaannya. Segala makan minum, pakaian, layanan kepada suami, kebajikan dan harta suami harus si isteri itu dahulukan.

Sebaik sahaja seorang lelaki dan seorang wanita itu bergelar suami isteri maka, mereka perlu tahu bahawa mereka akan berhadapan dengan satu situasi baru yang mana mereka akan memikul dan memegang amanah yang cukup berat. Bagaimana untuk mereka memulakannya? Jawapannya, mula lah dengan komunikasi. Komunikasi dalam suami isteri merupakan institusi penting di mana mereka perlu untuk memulakan perhubungan. Keseluruhan kesejahteraan da kepuasan hidup bergantung kepada kualiti komunikasi dalam keluarga. Melalui komunikasi suami isteri itu akan dapat membentuk dan membina sebuah keluarga yang bahagia dan diistilahkan oleh masyarakat kita hari ini sebagai 'Rumahku Syurgaku'. Bagaimanakah ia dijadikan syurga? RUMAH TANGGA bahagia bertunjang pada tiang yang kukuh. Andai goyah satu tiang maka goyahlah istana yang dibina.

Mewujudkan ‘rumahku syurgaku’ bukanlah suatu yang mudah jika suami dan isteri tidak faham peranan masing-masing. Mereka perlu diisi dengan ilmu rumahtangga dan perlu tahu serta faham akan tanggungjawab masing-masing. Selain itu untuk mewujudkan 'rumahku syurgaku' juga, suami isteri itu kena saling memahami antara satu sama lain, perlu ada kepercayaan dalam perhubungan dan sikap toleransi serta saling bertolak ansur. Jika sikap atau perkara ini diterapkan dalam kehidupan suami isteri, insyaallah....rumahtangga akan berkekalan kehendaknya. Apabila suami isteri dapat mendidik dan menerapkan nilai murni berkenaan dalam diri masing-masing, insyaallah mereka tidak ada masalah untuk mendidik anak-anak kelak. Didikan anak-anak bermula dari rumah kerana ibu dan bapa adalah orang yang berperanan penting untuk mendididk dan membina perkembangan awal anak-anak.

Ayah adalah ketua keluarga, ibu adalah timbalannya dan anak-anak pula adalah rakyat-rakyatnya yang akan mencorak dan membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Kerjasama antara ketua, timbalan dan rakyat-rakyat ini akan menentukan jalan menuju ke arah 'rumahku syurgaku'. Insyaallah kombinasi hebat antara suami isteri dan anak-anak akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan. Sikap kepimpinan dan rasa tanggungjawab si suami atau si ayah ditambah dengan sikap kerjasama dan memahami dari si isteri atau si ibu serta ditambah lagi dengan sikap taat kepada ibu bapa dari si anak, maka akan jelas terpancar ketenangan, kedamaian dan kebahagian dalam rumahtangga. Inilah sebenarnya yang kita idam-idamkan dan kita damba-dambakan. Keluarga itulah rumah dan juga syurga anda.

Khamis, 21 April 2011

SIKAP SUKA MENUNDING JARI

Apakah yang dimaksudkan dengan sikap menunding jari? Menunding jari iaitu budaya suka ketawakan orang atau dalam erti kata lain suka menyalahkan orang lain. Budaya atau sikap suka menyalahkan orang lain atau menunding jari ke atas orang lain sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini. Sikap suka menunding jari ini ini merupakan salah satu tabiat buruk orang kita. Saya kurang gemar akan tabiat buruk suka menunding jari ini. Pernah tak kita terfikir kenapa Allah ciptakan bentuk jari kita apabila kita menuding jari pada orang lain, cuma satu jari yang menunjuk pada orang lain, tapi 3 jari menunjuk kembali pada diri kita. Kenapa ya? Pasti ada seribu satu rahsia di sebalik penciptaanNya. Mungkin salah satunya, sebelum kita menuding jari pada orang lain, berfikir dulu sejenak sebelum menyalahkan orang lain, rendahkan ego kita sebagai seorang hamba di muka bumi Allah yang indah ini.

Saya ambil satu contoh sikap suka menyalahkan orang lain atas kesalahan diri sendiri yang mungkin dia tidak nampak. Ini kes masalah sosial dan realiti berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Ada seorang hamba Allah datang berjumpa dengan saya menyatakan bahawa anak perempuannya ingin berkahwin dengan jejaka pilihannya dan telah pun pergi ke Jabatan Agama untuk meminta kelulusan dan kebenaran berkahwin, tetapi hamba Allah ini nampak agak marah kepada pihak Jabatan Agama kerana permohonan kahwin anaknya tidak diluluskan atas sebab belum mengikuti kursus pra perkahwinan. "Nak kahwin pun susah, kena ikut kursus la, itu la, ini la. Anak aku ni dah mengandung, dia dah terlanjur, apa salahnya diluluskan sahaja permohonan tanpa perlu ikut kursus. Inilah masalahnya sekarang, ramai anak gadis yang mengandung, buat maksiat sana sini disebabkan Jabatan Agama yang menggalakkan perkara seumpama ini", kata hamba Allah itu dengan nada yang marah.

Dalam kes yang saya sebutkan di atas tadi, patutkah Jabatan Agama yang disalahkan? Pada pendapat saya, sekiranya Jabatan Agama meluluskan permohonan kahwin si anak itu, maknanya Jabatan Agama lagi menggalakkan perbuatan maksiat. Seorang yang bermasalah sepert itu diluluskan permohonan kahwinnya, maka akan ada lagi orang lain yang akan lakukan perkara sedemikian. Orang lain tentu akan berkata, "Kenapa dia boleh? Kenapa aku tidak boleh? Kalau dia boleh diluluskan, aku pun seharusnya boleh diluluskan?". Perkara begini harus segera dibendung. Bagi saya pihak Jabatan Agama cuma menjalankan tugasnya dengan mengikut prosuder yang telah ditetapkan. Tidak kira lah dia mengandung atau tidak mengandung, kursus pra perkahwinan adalah dimestikan kepada sesiapa yang ingin berkahwin. Kursus pra perkahwinan dimestikan bukan sekadar untuk suka-suka tapi untuk kebaikan dan persediaan sebelum menempuh alam rumahtangga. Kenapa perlu tunggu mengandung baru nak memohon kahwin? Bila tidak diluluskan naik angin pula. Jabatan Agama bukan nak birokrasi, tapi hanya menjalankan tugas dengan betul dan amanah. Jangan asyik nak salahkan orang je. Orang Islam mabuk minum arak, Jabatan Agama yang disalahkan, pasangan lelaki perempuan bukan muhrim berdua-duaan di tempat gelap, Jabatan Agama yang disalahkan, pelajar belasan tahun mengandung tanpa nikah, Jabatan Agama juga yang disalahkan. Asyik Jabatan Agama je yang salah. Kononya Jabatan Agama tak buat kerja, Jabatan Agama makan gaji buta, Jabatan Agama duduk goyang kaki. Jabatan Agama itu, Jabatan Agama ini...apa-apa yang salah semua dari Jabatan Agama la katakan.

Perkara seumpama ini perlu dijadikan sempadan dan pengajaran. Allah SWT mengurniakan kita dengan akal fikiran untuk membezakan perkara baik dan buruk, berfikir dengan betul mana yang boleh dilakukan dan mana yang tidak patut dilakukan. Sebelum kita menyalahkan orang lain atau mana-mana pihak, berfikir dahulu sebelum bertindak. Jangan asyik nak menyalahkan orang je. Sama la kisahnya seperti lagu 'Bangau oh bangau' yang mana kalau kita hayati dan fahami lagu berkenaan, semua watak-watak dalam lagu berkenaan asyik nak menyalahkan orang je, cuma watak ular sahaja yang mengaku kesalahan.

Sama lah juga kisahnya dengan kes buli yang berlaku di sekolah. Banyak kes seumpama ini semua asyik salah menyalahi. Ibu bapa salahkan cikgu konon tak mengajar anak murid, cikgu pula salahkan ibu bapa sebab tak mendidik anak-anak, Ibu bapa dan cikgu pula salahkan anak murid sebab tak dengar nasihat dan malas.

Begitu juga dengan kes suami isteri bertengkar sehingga ada yang cerai berai dengan alasan tidak bersefahaman dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Mula lah si suami akan menyalahkan isteri tidak pandai masak la, isteri abai tanggungjawab la, isteri curang la, isteri tidak pandai layan suami la dan bermacam-macam lagi jenis kesalahan. Begitu juga dengan isteri yang mula menyalahkan suami ada perempuan lain la, suami tidak bagi nafkah, suami sibuk keluar daerah atau negeri dan macam-macam lagi. Jarang sekiranya suami isteri bertengkar, mereka akan mengaku kesilapan atau kesalahan diri mereka sendiri. Sekiranya ada pun tapi tidak banyak. Kenapa terjadi sedemikian? Semua ini perlu kita fikirkan bersama. Tepuk dada tanya iman...jawapan ada pada diri kita sendiri. Wallahu alam....

Ahad, 3 April 2011

ISTERI SOLEHAH 'VS' ISTERI TOLEHAH

Isteri cerdik yang solehah...
Penyejuk mata...
Penawar hati...
Penajam fikiran...

Di rumah dia isteri...
Di jalanan kawan...
Di waktu kita buntu...
Dia penunjuk jalan...

Bait-bait lagu di atas adalah menunjukkan ciri-ciri seorang isteri solehah yang mana ciri-ciri tersebut sangat didambakan oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Bagi seorang suami itu, isteri adalah kawan, teman dan sahabat dikala susah dan senangnya. Jika seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan pemimpin dalam rumahnya, maka seorang isteri itu adalah pemimpin dalam rumah suaminya. Seorang isteri yang solehah itu tahu akan peranan dan tanggungjawabnya dalam mengurus rumahtangga. Sebagai ketua dalam rumah suaminya juga, si isteri berperanan dalam mengurus, membesar dan mendidik anak-anak dengan didikan agama yang sempurna.

Sabda Rasulullah s.a.w....

"Tidak boleh bagi seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan sujud seorang manusia kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya kerana hak suami ke atasnya terlalu besar." (Hadis tsabit riwayat Ahmad dan al-Bazzar).

Tetapi kita lihat realiti dunia hari ini, bilangan wanita khususnya isteri yang digelar solehah itu boleh dikira dengan jari. Terlalu sedikit jumlahnya. Ramai para suami yang datang berjumpa dengan saya mengadu mengenai isteri mereka yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ada di antara para suami ini mengadu isteri tidak melayan mereka di tempat tidur, ada juga mengadu isteri lari meninggalkan rumah, isteri curang dan mempunyai hubungan dengan lelaki lain, isteri mengabaikan solat lima waktu, isteri bercakap kasar dan meninggikan suara, isteri pemabuk, isteri mengabaikan anak-anak, isteri itu...isteri ini...dan bermacam-macam lagi jenis aduan mengenai si isteri. Saya sendiri sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu, mula berfikir...di manakah letaknya harga diri seorang wanita itu? Lebih-lebih lagi yang bergelar seorang isteri. Tidak kah mereka tahu bahawa di akhirat nanti akan dihitung dan dihisab semua amalan mereka?

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Setiap seorang kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya ambil contoh kes aduan suami mengenai isteri mereka yang tidak memberi layanan di tempat tidur. Mengapa terjadi sedemikian? Baiklah katakanlah sekiranya mungkin isteri itu letih sekalipun, sekurang-kurangnya bercakap elok-elok dengan suami dan fahamkan suami mengapa anda tidak dapat melayannya? Bukannya dengan muka masam dan nada suara yang kasar si isteri itu harus menolaknya. Tapi itulah aduan yang saya terima, lebih-lebih lagi si isteri yang berkerjaya, bekerja di luar sepenuh masa, apabila balik sahaja dari tempat kerja, terus sahaja masuk ke bilik tidur dan tidur tanpa mahu menjenguk keadaan di dapur, tanpa membelai anak-anak dan tanpa hiraukan suami yang sedang menanti.

Wanita solehah tidak akan sekali-kali mengabaikan permintaan suaminya di tempat tidur. Dia sentasa berwaspada terhadap sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut: "Demi yang jiwaku di tangan-NYA, mana-mana suami yang memanggil isteri di tempat tidur, lalu isteri itu enggan memenuhinya, maka segala yang ada di langit dan bumi akan murka terhadapnya sehinggalah suaminya redha kepadanya.” (Riwayat Muslim).

Dia juga memahami bahawa permintaan suaminya itu wajib dipenuhi segera dan tidak boleh ditangguhkan walaupun ketika itu dia sedang sibuk di dapur atau berada di atas kenderaan. Permintaan yang ditunaikan itu dapat menjaga dan membantu suaminya menghindari segala bisikan dan runtunan syahwat yang melanda fikirannya dan menenangkan jiwa suaminya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” - (Riwayat Muslim).

Hal ini amat berbeza sekali dengan wanita yang tidak memahami tuntutan agama. Mereka sewenang-wenangnya menolak permintaan suami dan menganggap perbuatan itu tidak mendatangkan sebarang dosa. Mereka sewenang-wenangnya memberi alasan penat atau sebagainya. Amaran dan ancaman laknat ALLAH dan malaikat terhadap perbuatan itu langsung tidak berbekas dalam hatinya.

Wanita solehah yang memahami kewajipan itu akan berusaha sebaik mungkin menjalankan tanggungjawabnya. Sepenat manapun, dia akan berusaha menunaikan segala permintaan suami. Ini kerana, redha ALLAH kepadanya terletak pada redha suami terhadap dirinya.

Inilah bezanya antara isteri yang solehah dan isteri tolehah itu. Mungkin memang agak sukar untuk menjadi isteri yang solehah itu, tetapi jika seseorang wanita itu mempunyai ilmu di dada dan pegangan iman yang kukuh, insyaallah perkara-perkara yang membawanya kepada dosa tidak akan terjadi.

Sebuah riwayat menceritakan:

“Seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w kerana hajat tertentu. Apabila selesai, Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu mempunyai suami? Dia menjawab: Ya. Sabda baginda: Bagaimanakah kamu dengan dia? Dia menjawab: Aku tidak melalaikan haknya melainkan jika melibatkan apa yang tidak mampu kulakukan. Sabda baginda: Kamu perlu lihat keadaan kamu daripadanya. Sesungguhnya dia adalah syurga dan neraka kamu.” – (Riwayat Ahmad dan al-Nasaai dengan sanad yang baik).

Maka cukup setakat ini dahulu catatan saya pada hari ini. Mudahan apa yang saya cuba sampaikan ini berguna kepada wanita-wanita di luar sana, khususnya para isteri. Bukannya niat saya untuk merendah-rendahkan kaum wanita dan kaum isteri kerana saya juga seorang isteri dan sebagai seorang isteri saya ingin berkongsi dengan para isteri sekalian bagaimana untuk kita mencapai keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Wallahu alam.....